MENGUNDI DI HARI BANJIR



Peratusan mengundi kurang, BN akan menang : ini sifir yang benar-benar dipercayai BN.


Teori ini pernah diuji pada tahun 2018 yang lalu.


Pengerusi BN pada waktu itu mengadakan PRU-14 pada hari Rabu. Kita semua tahu kesudahannya.


82.32 peratus pemilih yang layak keluar mengundi. Peratusan ini merupakan antara yang tertinggi dalam sejarah.


Ada yang pulang mengundi berkongsi kenderaan dengan individu yang baru sahaja dikenali di media sosial.


Ada yang terbang dari negara luar dengan tiket yang dibeli hasil kutipan sumbangan rakyat.


Mesej mereka pada waktu itu cukup jelas : anda cuba halang hak kami, tunggu kami balas di kotak undi.


Selebihnya adalah sejarah yang tidak perlu saya ulang kembali.


Kali ini, strategi yang sama sedang dipertimbangkan Pengerusi BN.


Mengundi sewaktu banjir.


Kata beliau, jentera akan tetap meredah air untuk berkempen.


Ya benar, jentera BN tiada tandingnya. Kalau hari ini dibubarkan Parlimen, malam nanti bendera dan sepanduk akan siap dipasang.


Namun kemarahan rakyat jangan sesekali diundang. Tidak mustahil pisang berbuah dua kali.


Cubaan menyekat hak rakyat membuang undi hanya dan hanya akan memakan diri.


Mereka akan menggagahkan diri ke pusat pembuangan undi dengan amarah tidak bertepi terhadap BN.


Waktu itu fikiran mereka cuma satu : asal bukan dacing.


Sentimen yang sama turut dirasai rakyat pada PRU-14 yang lalu.


Mereka bukannya terlalu mahukan PH, namun kemarahan terhadap BN cukup membuatkan mereka memangkah yang lain.


Jangan cari nahas. 


Jangan bermain dengan api, kelak membakar diri. Jangan bermain dengan air, kelak BN yang kelemasan di kemudian hari.


Banjir yang akan datang ini tidak perlu kita bercongak mahu merebut kuasa. Fokus kita cuma pada rakyat.


Buktikan pada mereka, jentera BN bukan sahaja bersedia untuk pilihan raya, malah turut bersiaga untuk bencana.


Menyelamatkan nyawa dan harta benda ialah prinsip asas maqasid syariah. Soal kuasa, kita fikirkan kemudian.


Kuasa boleh tunggu, namun banjir datang pada bila-bila masa tanpa menunggu sesiapa.


Belajarlah daripada kesilapan lampau. Menghukum rakyat dengan menyukarkan mereka melunaskan hak mengundi hanya akan menyebabkan mereka menghukum kita kembali.


Minta dijauhkan.


Sekian.

Comments

Popular posts from this blog

DATO’ TAJUDDIN NYATAKAN KEBENARAN: DESAK PRESIDEN UMNO LAKUKAN PERALIHAN KUASA SEGERA DEMI SELAMATKAN UMNO DAN BN PRU-15

ROS LULUS BUKTI KOMITMEN ISMAIL SABRI KEPADA PERJUANGAN UMNO

BUBAR OKTOBER: UMNO BN BUKAN GILA KUASA